Monday, 12 December 2011

GURU DALAM HIDUP

   Akhirnya selepas sepuluh hari berjuang,tamat juga peperangan ini.Terasa segala beban telah pergi dari diri ini.Tidak perlu lagi merungsingkan fikiran dengan persamaan kimia,tidak perlu lagi menghafal sel-sel dalam biologi,dan menyelesaikan masalah dalam matematik tambahan.Semuanya telah berakhir.Kini penantian yang perlu adalah saat keputusan sebenar akan diumumkan pada beberapa bulan lagi.Dengan berakhirnya peperiksaan ini menandakan gugurlah jawatan saya dan rakan-rakan tingkatan lima saya sebagai murid SMK Pengkalan.Selepas ini semuanya pasti sibuk mencari pekerjaan untuk tidak membuang masa yang begitu berharga.

   Berfikir tentang sekolah,pelbagai kenangan dan emosi yang dapat saya bayangkan sepanjang bergelar murid sekolah.Di sekolah jugalah kita semua bertemu dengan insan bergelar guru.Mula belajar di tadika kemas Sungai Senam pada enam tahun,saya melonjak pula ke darjah satu di SK Cator Avenue sehingga darjah empat.Bermula darjah lima,saya bersekolah di SK Pengkalan setelah berpindah dari Sungai Senam.Setelah tamat darjah enam,saya naik ke tingkatan satu di SMK Pengkalan hingga tamat tingkatan lima.Pelbagai jenis manusia serta ragam telah saya temui.Masih saya ingat nama guru-guru saya  semasa di tadika iaitu Cikgu Chan dan Cikgu Fatimah.Walaupun kesemua murid yang diajarnya Melayu,tetapi Cikgu Chan tiada masalah untuk mengajar kami agar menjadi manusia yang berguna.Mungkin pada masa itu pengaruh politik masih kurang dikalangan guru.Begitu juga rakan-rakan yang lain walaupun ada yang saya telah lupa namanya.Rasanya tidak pernah timbul masalah antara kami murid-murid di sini,
hinggakan ke sekolah rendah.Kami masih dapat bermain dengan baik berbanding semasa berada di Pengkalan.Suasananya cukup berbeza.Alangkah baik jika dapat bersemuka dengan mereka semula.

   Semasa di SK Cator Avenue,yang merupakan sekolah lelaki sahaja,tidak banyak pengalaman yang dapat saya perolehi.Mungkin disebabkan ini juga saya malu untuk bergaul dengan murid perempuan.Tetapi yang masih saya ingat ialah tentang seorang guru ini yang sering memarahi saya dan dua orang rakan saya yang berbangsa Melayu dan Cina.Mungkin disebabkan kami yang paling lembab di dalam kelas yang menyebabkan dia rakus memarahi kami.Tetapi ada suatu ketika semasa di kelas seni,guru ini melayan saya dengan baik dan dengan lembut menyuruh saya menyiapkan hasil kerja saya.Bukan kepalang indah rasanya di hati kecil ini.Entah bagaimana dia sekarang,masihkah dia mangajar di sana?Masih cantikkah dia seperti semasa menjadi guru kelas saya?

   Belajar di SK Pengkalan memberi saya pengalaman yang cukup berbeza.Masakan tidak,jika dahulunya saya belajar dikelilingi lelaki sahaja tetapi kini disertakan dengan murid perempuan.Semasa masih baharu di sini,saya berada di kelas keempat.Kawan sebelah saya pada masa itu adalah pelajar yang kini sudah menjadi sedikit "gangster" tetapi masih lagi baik.Bayangkan jika saya masih di kelas belakang dan bergaul rapat dengan mereka,mungkin saya juga boleh menjadi "taiko" yang berjaya di sekolah menengah.Tetapi jika kita pandai membawa diri dan berfikiran rasional pasti kita dapat menangani masalah ini dengan baik bukan.Dan bukan semua pelajar kelas belakang ini teruk perangainya,malah ada yang lebih baik dari  yang berada di kelas yang hadapan.Semuanya bergantung kepada individu tersebut untuk menentukan siapa dia.Semasa darjah enam saya berjaya memasuki kelas hadapan sepanjang karier saya sebagai murid.Kali ini saya duduk di sebelah murid perempuan.Terima kasih kepadanya kerana sudi menjadi guru kedua saya pada waktu itu dan maaf kerana saya tidak dapat mengingati nama anda.Di sinilah saya mula kenal dengan rakan-rakan baharu yang sesetengahnya masih saya lihat batang hidungnya di sekolah menengah.Pada tahun juga saya buat pertama kalinya,mengikuti kem di sekolah.Pengalaman mandi di sekolah amat saya benci hinggakan ke sekolah menengah.Saya dapat menamatkan persekolahan saya dengan keputusan UPSR yang sederhana sahaja iaitu 2A3B.

   Menjadi "junior" di sekolah menengah ternyata tidaklah sukar lantaran kewujudan saya dikalangan murid-murid adalah tidak diendahkan.Tetapi saya tidak kisah dengannya.Semasa di tingkatan satu,saya mempunyai tanggapan yang serong terhadap seorang rakan saya yang merupakan anak seorang guru saya juga,yang jauh lebih pandai dari saya.Saya menganggap bahawa dia seorang yang sombong dan hanya bergaul dengan murid yang setaraf dengannya sahaja tetapi ternyata salah tanggapan saya apabila dia melayan saya dengan baik dan sangat merendah diri.Malunya saya dengan sikap saya ini.Mungkin yang sombong sebenarnya saya.Banyak juga peristiwa yang samar-samar dalam ingatan saya.Tetapi peristiwa yang paling saya ingati dan mungkin tidak dapat saya lupakan adalah peristiwa sepanjang 2010-2011.

   Semasa di tingkatan empat saya mula berani meluahkan perasaan cinta saya kepada umum setelah berkenalan dengan bekas kekasih rakan sekelas saya.Dia yang pada mulanya memanggil saya "muka pembunuh" banyak membantu saya dalam hal-hal yang melibatkan hati dan perasaan ini.Dan disebabkan ini jugalah pernah seketika hubungan persahabatan antara saya dan rakan sekelas saya ini terputus.Tetapi kami adalah profesional.Kami tamatkan persengketaan secara profesional.Tidak lupa juga dengan rakan-rakan yang lain yang sering memberikan nasihat dan dorongan walaupun hasilnya tidak seperti yang saya jangka.Pada tingkatan ini jugalah saya mengenali guru praktikal yang pernah memanggil saya dengan nama "Roller Coaster" lantaran tulisan saya yang seperti karya seni abstrak.Pada mulanya saya menganggap dia hanya guru biasa sahaja,tetapi dia seorang yang cukup baik dan "sporting".Semasa di tingkatan lima pula,saya berpeluang merasa perasaan dicintai dan mencintai.Disamping itu,hal ini turut mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih baik.Pada tahun ini juga saya belajar dengan guru-guru yang boleh dikatakan antara yang saya suka jugalah.Guru Bahasa Melayu yang sedikit tegas tetapi lembut hatinya,dengan pertuturannya yang mengikut skema,memberi inspirasi kepada saya untuk menulis dengan menggunakan bahasa Melayu yang penuh di blog ini.Guru English yang cukup "sporting",guru kelas yang cukup tegas pada satu masa tetapi kelakar pada masa yang lain dan guru-guru yang lain.Tidak lupa juga guru-guru tusyen saya yang pernah mengajar saya,terutama semasa saya sekolah rendah.Saya memanggilnya Kak Long.Anda jangan pula menganggap dia mempunyai hubungan dengan kumpulan kongsi gelap.Semasa belajar bersamanya,saya cukup seronok kerana kami cukup serasi tambahan pula dia juga meminati kumpulan muzik Linkin Park.Dia turut meminati watak Garfield.Tetapi sayang kerana kini kami telah terputus hubungan setelah saya naik ke sekolah menengah.Ada suatu ketika saya mahu menghantar kad raya kepadanya tetapi apabila mahu menghantarnya,kad tersebut telah hilang.Saya amat berharap sekiranya kami dapat bertemu kembali,mungkin Kak Long sudah berumah tangga.

   Sepanjang hidup ini,kita akan belajar walaupun tidak berada di sekolah.Pengalaman itu sendiri adalah guru kita di dunia luar.Guru bukan sahaja yang mengajar kita di sekolah,tetapi di rumah,ibu bapa kita sendiri juga guru kita sejak lahir ke dunia.Tanpa pengajar-pengajar ini,kita mungkin akan menjadi seperti tin kosong.Tetap kosong.Tetapi kehadiran mereka seperti tin kosong itu dimasukkan sesuatu di dalamnya.Pengalaman yang ada itu sebenarnya boleh digunapakai dalam setiap masalah yang kita hadapi,walaupun masalahnya berbeza tetapi jika kita dapat memikirkan yang tersirat dan positif pasti setiap masalah dapat diselesaikan.Akhir kata,saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada setiap guru yang pernah muncul dalam hidup saya secara langsung atau tidak langsung.Tanpa anda,siapalah saya.

p.s:Post ini rasanya lebih baik kalau di buat untuk hari guru.....hmm..?

No comments:

Post a Comment