Friday, 30 November 2012

WRECK-IT RALPH


Hype Semua!!
Semalam saya telah menonton sebuah filem animasi yang baru beberapa hari ditayangkan iaitu Wreck-It Ralph di TGV Station 18.Rancangan awal adalah pergi bersama rakan-rakan sekelas,tetapi masing-masing sibuk dengan urusan sendiri,akhirnya ini kali kedua saya menonton wayang sendirian selepas filem Dredd.

   Sebuah lagi filem terbitan Walt Disney yang diarahkan oleh Rick Moore ini menampilkan kelainan berbanding filem animasi yang ada pada masa kini kerana jalan ceritanya yang berteraskan permainan video arked.Apabila disebut permainan video sudah pasti kita akan terbayang watak-watak dalam permainan video bukan,seperti yang dapat dilihat pada posternya.

   Berkisar tentang kehidupan watak jahat dalam permainan arked Fix-It Felix,Ralph yang bosan dengan kehidupan tersisih dan ditakuti watak lain.Melihat Felix yang seringkali diraikan,Ralph yang muncul pada parti ulang tahun ke 30 Fix-It Felix telah dicabar Gene untuk mendapatkan medal emas agar dia pula mendapat kemegahan yang selama ini Felix miliki.

Saat Ralph menyahut cabaran Gene.
   Konflik bermula apabila Ralph memecah masuk ke permainan arked Hero's Duty untuk mendapatkan medal emas tetapi secara tidak sengaja telah pergi ke permainan arked Sugar Rush dimana dia telah berjumpa dengan Vanellope von Schweetz .Dan kesinambungan filem ini kalian boleh tonton sendiri ya.Heheh. Melihat pada watak-watak yang wujud dalam filem ini,kebanyakkannya adalah watak jahat seperti Zombie dari House Of The Dead,Mr.Bison dari Street Fighter dan lain-lain lagi.

   Filem ini menampilkan grafik yang tidak perlu dipersoalkan lagi,cantik dan rekaan wataknya serupa seperti dalam permainan video sebenar.Namun begitu,pada saya jalan ceritanya belum cukup memuaskan hati saya.Bukan mengatakan filem ini tidak bagus,tetapi saya menjangkakan dan lebih suka jika mereka mengembara ke dalam permainan video yang lain.Lokasi filem ini pada pertengahannya hingga ke klimaks adalah di Sugar Rush.

Sesi kaunseling bersama watak jahat yang lain.=D
   Walaubagaimana pun,saya tertarik dengan muzik latar pada permulaan filem dan pada babak peperangan dalam Hero's Duty yang mana saya rasa adalah korus lagu 'My Name is Skrillex' dari Skrillex dengan sedikit olahan.Jika kalian fikir dalam filem ini hanya ada watak permainan video sahaja sebagai penampilan khas, kalian tersilap.Skrillex membuat penampilan istimewa tanpa dialog dan babaknya hanya beberapa saat sahaja,dimana dia menjadi DJ di parti ulang tahun 30 Fix-It Felix.

   Pada saya filem ini walaupun belum cukup memuaskan saya tetapi tetap boleh diterima dan tidak membosankan.Bagus untuk semua peringkat umur dan juga bagi pengemar permainan video arked.Menonton filem ini membuatkan saya terfikir bagaimana keadaan watak-watak permainan video ini,jika benar mereka seperti yang ditunjukkan dalam Wreck-It Ralph.Sekian.

Wednesday, 28 November 2012

BUKAN KU TAK SAYANG



Sepanjang detik bersamamu
Adalah waktu paling indah dalam hidupku
Yang belum pernah ku alami
Ku bahagia menatap senyuman
Yang tidak lekang dari wajahmu
Sikapmu yang berbeza dari yang lain
Senyum sendirian aku mengenangkan dirimu
Namun ku keliru
Sama ada menipu dirimu
Ataupun diriku
Ku enggan memusnahkan mahkota indah kita
Walaupun itu yang sedang ku lakukan kini
Bukan kerana ku benci padamu
Bukan kerana lupus sudah kasih sayang
Tetapi ku perlukan masa dan ruang
Untuk perbaiki diriku
Yang serba kekurangan

Hingga ke subuh
Ku tahu dikau menangis
Taktala ku ucapkan kata-kata
Ku juga menangis
Kerana tindakanku
Yang menghancurkan hati sucimu
Janji dan kata-kata manis
Yang pernah ku ucapkan
Gagal ku kotakan
Dikau berhak menganggap diriku jahat
Tidak berguna,buaya darat
Tetapi jangan berhenti berharap akan cinta suci
Kerana tiba masanya
Cinta itu akan datang jua
Namun bukan sekarang

Ku tidak mahu perhubungan kita terhenti disini
Pada noktah yang menyakitkan
Ku mahu lihat walaupun diriku
Tiada lagi disisi
Dikau masih mampu mengecapi kebahagiaan
Dari orang sekeliling yang mendampingimu
Yang menyayangimu lebih dari diriku
Sesungguhnya aku tidak tahu penghujungnya
Semoga dikau tabah,ku tahu dikau kuat
Walau tanpa ku,
Jangan menangis lagi
Kerana menyebabkan hatiku
Turut menangis

Dan kini,
Terbangkan aku jauh
Menemui ketenangan dan jalan pulang
Mencari diriku yang sebenarnya
Biarkan aku menyayangimu
Hanya dalam diam


Wednesday, 14 November 2012

CUBA UNTUK MENJADI BAIK



Aku cuba untuk menjadi baik
Tetapi aku gagal
Bukan kerana aku tidak dapat melakukannya
Tetapi kerana aku gagal menghadapi tekanannya

Aku cuba untuk menjadi baik
Tetapi lain jadinya
Kebaikanku memakan diriku sendiri
Menjadi racun kepada emosiku

Aku cuba untuk menjadi baik
Tetapi tidak sepenuhnya
Sebahagian diriku tersemat kejahatan
Yang tiada siapa tahu

Aku cuba untuk menjadi baik
Tetapi berjayakah aku?
Wujudkah keikhlasan dihatiku
Ataupun hanya untuk menunjuk-nunjuk




JIKA INI HARI TERAKHIRKU



Jika ini hari terakhirku..
Berikan aku satu peluang
Memperbetulkan kesilapanku
Kekhilafan yang selama ini menyelubungi diri
Yang menjadi darah dagingku..
Kasihani aku..

Jika ini hari terakhirku..
Temukan aku dengan semua yang ku kenali
Untuk aku memohon kemaafan
Atas dosa-dosaku kepadamu
Agar tidak dituntutmu..
Maafkan aku..

Jika ini hari terakhirku..
Balutilah aku
Lindungi aku dari keaiban
Jangan meratapi aku
Tataplah aku buat kali terakhir..
Sempurnakanlah aku..

Jika ini hari terakhirku..
Segala laranganMu yang ku lakukan
Segala perintahMu yang ku abaikan
Aku leka dengan duniaku
Aku lupa akan diriMu..
Ampunilah aku..


JAMUAN PERTES/BOWLING


Hype Semua!!
Pada hari sabtu minggu terakhir persekolahan,PERTES ataupun nama penuhnya Persatuan Tingkatan Enam Sekolah telah mengadakan sebuah majlis meraikan bekas guru MUET,Pn Manimangal dan senior tingkatan enam di Hotel Excelsior yang terletak di pekan Ipoh.

   Majlis yang seperti diberitahu akan bermula pada jam 3 namun para tetamu diarah untuk datang pada pukul 2.Saya yang pergi dengan menaiki motor bersama seorang kawan yang membawa motornya sendiri tiba pada pukul 2 lebih.Teragak-agak untuk masuk ke dalam hotel tersebut kerana tiada langsung kelibat warga SMK Kampong Pasir Puteh.Selepas beberapa minit,muncul 2 kelibat yang amat saya kenali iaitu Cikgu Basrah,guru matapelajaran Ekonomi saya dan anaknya yang juga rakan sekelas saya.

   Agak mengejutkan kerana kami adalah antara tetamu yang terawal tiba di majlis ini.Ada juga beberapa orang senior yang juga sampai awal seperti kami.Selepas beberapa detik berlalu barulah para tetamu mula datang.

   Makanan yang dihidangkan pada hari tersebut tiada yang istimewa atau esklusif tetapi tetap memberi perut kami sendat-sendat belaka.Antara hidangan yang disediakan pada hari tersebut adalah nasi goreng,ketiaw goreng,ayam goreng,kuih-muih,laksa,sandwich,ais kacang dan lain-lain lagi.Keadaan di dewan makan agak kurang selesa kerana terpaksa berkongsi dengan majlis orang lain.Pada sangkaan saya hanya kami sahaja yang akan menjamu selera di situ.Walau bagaimana pun keadaan masih terkawal.

   Selepas perut telah penuh dengan makanan yang lazat-lazat,diadakan pula sesi fotografi sebagai bukti kejadian yang kami alami.Kemudiannya setelah tamat majlis tersebut saya bersama beberapa rakan iaitu Saravana,Hanis,Aina,Husna dan Wan menuju ke Ipoh Parade untuk bermain bowling.Bermain bowling adalah pengalaman pertama bagi kami dan tiada pun salah seorang dari kami yang pandai bermain bowling.Pada mula teragak-agak juga untuk bermain kerana risau dan malu sekiranya berlaku kejadian yang tidaki diingini.

   Pada awal permainan agak sukar juga tetapi selepas beberapa pusingan semua sudah mula menunjukkan belang masing-masing.Antaranya Sara yang melakukan 2 kali strike,manakala saya,hanis dan Aina sekali.Ketika leka bermain ada salah seorang dari kami yang entah bagaimana telah terbalik bola ke belakang.Hampir-hampir saja mahu melanggar kaki saya.

   Permainan kami berakhir pada jam hampir pukul 7.Selepas itu kesemua kami mula bergerak pulang dalam hujan renyai-renyai.Sayu hati melihat pemandangan waktu senja disamping mengimbau kenangan yang baharu saya di alami tadi.Sekian.










Monday, 12 November 2012

TEPUNG DAN KEK

Hype Semua!!
Pada minggu terakhir persekolahan yang bersamaan minggu peperiksaan STPM penggal 1 adalah minggu yang sangat memberi tekanan.Semua pelajar serius dengan peperiksaan.Tetapi selepas 3 hari yang penuh tekanan itu berakhir,bahu dan otak ini terasa ringan buat seketika.

   Kepada yang mengenali diri ini sedia maklum bahawa bulan November adalah bulan kelahiran saya yang jatuh pada hari ke 4.Dan disebabkan kawan-kawan saya ini jenis yang "sporting",hari jadi saya diraikan dengan tepung dan coco campur kunyit di atas lantai.

   Beberapa hari sebelum ini saya sudah menjangka saya akan diserang dengan tepung kerana telah diberi amaran dari seseorang yang namanya dirahsiakan.Pada hari terakhir persekolahan itu,ketika saya leka menghadap netbook 1Malaysia saya,beberapa suspek memanggil saya.Dengan penuh debaran dan rasa syak wasangka,saya bangun dan terus lari!!

   Boom!!Suspek-suspek ini melepaskan bom tepung ke tubuh saya.Dari rambut hingga ke seluar saya menjadi putih dan coklat.Bertubi-tubi mereka mencampak tepung ke arah saya.Kemudiannya,sesuatu yang tidak saya jangka,salah seorang dari mereka membawa kek coklat ke arah saya.Sangat-sangat-sangat-sangat saya tergamam kerana tidak terlintas langsung di fikiran saya mereka akan membeli kek dengan menggunakan duit kelas.

   Selepas sesi mengambil gambar dan memotong kek,aktiviti mengotori saya dijalankan semula,kali ini dengan menggunakan kek.Hari tersebut adalah hari yang merupakan hari yang paling mengembirakan dicemari sedikit kontroversi apabila seorang guru yang namanya dirahsiakan telah menegur dan mempersoalkan tindakan kami yang pada pandangannya bukan budaya kita.Walau bagaimanapun,kami melupakan sahaja hal tersebut dan terus meneruskan hidup kami.

   Kepada sahabat-sahabat 6R1ku,terima kasih kerana sudi memberi saya satu kenangan yang cukup indah dan tidak akan saya lupakan.Maaf kerana ada beberapa kontroversi tetapi saya tahu niat kalian baik dan berjaya membuatkan saya berasa sangat terharu.Sekian.


Taip bawah ini untuk lebih gambar:
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.437357219645028.100849.100001122619249&type=1&l=14e784da45

Dan juga lihat jiran saya untuk cerita tambahan:
http://letslaughdude.blogspot.com/2012/11/birthday-boy.html

SYUKUR...DAPAT JUGA AKHIRNYA



Hype Semua!!
Sudah sekian lama jari jemari saya ini menaip papan kekunci menulis untuk blog saya ini.Bukannya tiada idea tetapi tiada kerajinan dan mood yang dapat menimbulkan ilham kepada saya,tetapi hari ini saya telah menetapkan hati saya untuk menulis,atau menaip.

   Pada 4 November yang lalu adalah hari saya telah dilahirkan dimuka bumi ini dan menandakan usia yang telah menjangkau 18 tahun secara rasmi.Pada tarikh tersebut juga saya berjaya memiliki benda yang saya ingin sangat dan akhirnya selepas 18 tahun saya berjaya memilikinya.

   Benda yang saya sebutkan di atas adalah sebuah kamera digital Sony W620 berwarna merah.Menggunakan sebahagian duit gaji ketika bekerja dahulu dan ditambah juga oleh ibu dan ayah,akhirnya saya membelinya selepas beberapa hari meneliti dan membuat perbandingan dengan kamera lain.

   Walaupun kamera idaman saya sebenarnya jenis DSLR,tetapi memiliki sebuah kamera digital juga sudah memberi kepuasan yang maksima kepada saya.Ini kerana saya berpendapat,yang penting bukan jenis kamera itu tetapi bagaimana kita menggunakannya.Betul tak??Lagipun apabila dilihat balik masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri.

   Mempunyai 14.1 mega pixels yang kata ayah sudah mencukupi untuk mendapat gambar yang cantik,dan pilihan saya ini dikira berbaloi dengan nilainya.Berfungsi seperti kamera lain dan mempunyai beberapa fungsi tambahan seperti pandangan panorama dan juga efek kamera.Fungsi efek kamera menarik minat saya kerana mempelbagaikan lagi gambar-gambar yang saya ambil.

   Saya amat bersyukur kerana berjaya memilikinya walaupun bukan dengan cara yang mudah seperti sesetengah orang yang boleh meminta sahaja.Tetapi saya tidak kisah kerana sejak kecil lagi saya telah dilatih begini dan dengan cara inilah mengajar saya menjadi manusia yang lebih menghargai sesuatu yang dimiliki.Sekian.=D





4  gambar diatas adalah telah diedit kecuali gambar kucing ini.
P.S:Post ini bukan bertujuan untuk menunjuk atau bermegah-megah.Sekadar mahu berkongsi kegembiraan bersama kalian.=D