Thursday, 31 October 2013

LINKIN PARK & ME PART 1


Assalam Semua !!
Linkin Park, sebuah entiti yang pernah mengegar dunia hiburan dengan  muzik yang diperjuangkan mereka. Bagi para peminat, mereka pencetus inspirasi melalui lagu-lagu yang didendangkan  mereka dari awal kemunculan pada tahun 2000 hinggalah pada waktu ini juga, 2013. Bagi aku, mereka merupakan teman yang menemaniku sepanjang perkenalan kami dari usiaku darjah tiga. Kini usiaku mencecah 19, dan aku masih mendengar lagu-lagu mereka. Membeli setiap album daripada kaset ke cd, dari yang cetak rompak ke original.

   Aku terkenang tika pertama kali ayah membelikan aku kaset Live In Texas di kedai cd di UO Greentownmall. Walaupun itu hanya sebuah album live, tetapi aku semakin tertarik dengan muzik mereka kerana album ini. Aku juga ingat dahulu di TV3 pernah menayangkan dokumentari pembikinan video muzik Breaking The Habit. Terujanya aku tidak kepalang. Jugaku ingat detik perkenalan dengan album Reanimation, yang pada dulunya aku keliru mengapa terdapat suara yang berlainan dalam album ini(rupa-rupanya ia sebuah album remix dimana terdapat kolaborasi bersama artis lain).


   Aku bukanlah seorang peminat yang mula mengenali mereka sejak kemunculan mereka dengan Hybrid Theory kerana pada masa itu aku masih di darjah satu dan masih belum mengerti akan muzik sebegini. Yangku kenal adalah Westlife dan Backstreet Boys. Tidak dinafikan yang semangat Linkin Park banyak meresap dalam diriku. Kekagumanku terhadap individu-individu disebalik nama Linkin Park terutamanya Mike Shinoda membuatkan aku pernah menulis sebuah karangan bahasa Inggeris mengenainya yang bertajuk “Orang Yang Saya Kagumi” semasa tingkatan 5. Gaya rapping dan fesyennya aku gemari, terbayang diriku sepertinya. Vokal dan jeritan Chester yang menjadi trademark bagi Linkin Park cukup aku sanjungi.


   Melihat perkembangan dan revolusi muzik mereka adalah suatu pengalaman yang mendebarkan kerana pada setiap album mahupun single mereka pasti menghasilkan kelainan, terutama selepas munculnya album Minutes To Midnight. Walau bagaimanapun bukan semua yang menyukainya. Aku juga tidak terkecuali, tetapi lama-kelamaan dapat jugaku hadam. Seperti pertama kali mendengarkan album Minutes To Midnight, tanggapanku adalah Linkin Park menjadi semakin perlahan dan tidak heavy seperti dahulu. Chester juga banyak menyanyi dengan vokal harmoni dan kurang jeritan mautnya. 

   Pada waktu itu sukar bagi aku untuk menerimanya, tetapi selepas aku menyelami album ini baruku sedar akan keindahan yang terselit di dalam rilisan tersebut. Antara kelebihan album tersebut yang aku kagumi adalah Brad Delson berani meneroka permainan gitarnya dengan memainkan solo-solo mengancam seperti dalam lagu Shadow Of The Day, In Pieces dan Little Things Give You Away. Chester juga membuat jeritan panjang yang kini rasanya tidak dapat diulanginya dalam lagu Given Up, malahan Mike mula menunjukkan bakat nyanyiannya tanpa rapping. Ayahku juga menyukai album ini kerana wujudnya bunyi gitar yang ketara sebelum munculnya album seterusnya. Aku tertanya-tanya akan bentuk album seterusnya, pasti wujud lebih banyak gitar solo mungkin.

   Sangkaanku meleset. Mendengarkan single The Catalyst membuatkan aku menjadi binggung seketika. Sudah gilakah mereka apabila memasukkan sample elektronik yang seakan-akan lagu dance seperti yang didengari dalam single pertama album seterusnya ini. Dengan bunyi gitar yang semakin hilang, aku terfikir : adakah Linkin Park akan menjadi band elektronik seperti mana banyak band-band dan artis lain yang semakin galak memainkan music dance dan tekno. Seperti biasa, lama-kelamaan dapatku hadam lagu tersebut. 


   Maka keluarnya cover album berjudul A Thousand Suns, dimana rekaan paling ringkas yang pernah mereka paparkan. Beberapa hari selepas rilisnya dipasaran, aku mendapatkan edisi deluxe album tersebut. Kali kedua mereka menyertakan dvd pembikinan selepas album Minutes To Midnight, keterujaanku memuncak walaupun kurang berpuas hati dengan durasi dan babak lagu The Catalyst yang rasanya tidak perlu. Maka esoknya aku mendengarkan album ini buat pertama kali. Intro The Requiem benar-benar menaikkan adrenalinku. Tika mulanya lagu Burning In The Skies aku seakan tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Mike Shinoda menyanyi vokal harmoni, malah lebih hebat dari In Between. Kemudian menjelajah ke lagu When They Come For Me yang mana aku salute akan rapping Mike dan kelainan lagu ini sama ada versi studio mahupun versi live. 

   Terus terang aku katakan, album A Thousand Suns berjaya membuka mata dan mindaku untuk terus focus meneliti setiap perinci bunyian yang dimainkan. Fikiranku mengatakan yang pengalaman mendengar album ini sama seperti menonton sebuah filem atau menjelajah ke sebuah demensi yang lain. Tak mampu aku ungkapkan dengan kata-kata. Walau ramai yang kurang mengemarinya dan aku akui album ini lebih perlahan berbanding Minutes To Midnight namun ia berjaya menyuntik kelainan, membuatkan aku tidak mampu mengaitkan album ini dengan album sebelumnya. The Messenger, lagu akustik pertama mereka yang pada mulanya paling tidakku gemari tetapi selepasku amati lirik-lirik yang terkandung, barulah dapat aku rasai semangat setiap lagu-lagu ini. Tak lupa juga pakej album ini dan hasil seninya yang sangat hebat. 

   Pada waktu itu aku percaya Linkin Park telah berjaya menemui apa yang mereka mahukan, sebuah kelainan dalam setiap album. Malah dari sudut muzik video Linkin Park sudah makin kehadapan dengan pengunaan teknologi CGI. Mike juga mengejutkan aku dengan rambut ala “Justin Bieber”nya. Bersambung...

No comments:

Post a Comment